Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Afif Bahardin berkata menyamakan rusuhan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dengan kekalahan Malaysia di pentas akhir Piala AFF Suzuki minggu lalu adalah satu penghinaan.
"Adalah satu penghinaan untuk membandingkan apa yang terjadi di Kuil Seafield dengan Piala AFF Suzuki, memandangkan kita bercakap tentang bagaimana untuk memecahkan tembok perkauman," kata exco Pulau Pianang itu seperti dilapor New Straits Times.
Afif berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang sebelum ini berkata menggesa menteri perpaduan P Waythamoorthy meletakkan jawatan susulan insiden rusuhan berkenaan adalah ibarat meminta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan jawatan selepas pasukan Harimau Malaya kalah dalam Piala AFF Suzuki.
Syed Saddiq sebelum ini mempertahankan hak Pemuda Bersatu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggesa Waythamoorthy dipecat.
Afif juga mempertahankan Syed Saddiq, dengan mengatakan bahawa tindakan Syed Saddiq tidak semestinya bercanggah dengan Dr Mahathir yang masih mengekalkan Waythamoorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Ia bukan soal menghina keputusan (Mahathir) atau tidak. Dalam Malaysia baru, sebarang keputusan yang dibuat tidak semestinya betul.
"Jadi kita perlu berjiwa besar untuk membetulkan kesalahan. Ini apa yang membezakan kita dengan pentadbiran sebelum ini," kata Afif dipetik sebagai berkata.