“Hari kebesaran bukan Islam tidak boleh diraikan oleh orang Islam kerana melibatkan pegangan dan kepercayaan agama yang salah, sebaliknya ia diizinkan jika hanya melibatkan perbezaan budaya.

Umat Islam diberi peringatan supaya tidak menyambut Hari Natal atau Krismas esok kerana perayaan tersebut merupakan hari kebesaran penganut agama Kristian yang bertentangan dengan akidah Islam, kata Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Adun Batu Buruk itu dipetik laporan Sinar Harian berkata, sambutan Hari Krismas melibatkan perbuatan mensyirikkan Allah dengan tiga sifat ketuhanan.

“Sambutan Hari Natal mempunyai unsur-unsur syirik sekali gus bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka mendakwa Tuhan ada anak, sedangkan ia bertentangan dengan pegangan kita dalam Islam.

“Mereka (penganut Kristian) menyambut Hari Raya Krismas dengan memasukkan unsur-unsur ini dan mereka mendakwa Nabi Isa sebagai anak tuhan,” katanya.

Bagaimanapun dalam laporan itu juga, Muhammad Khalil berkata terdapat ulama yang berpendapat, dibolehkan meraikan hari kebesaran agama lain yang tidak melibatkan pegangan akidah tetapi cuma melibatkan budaya sahaja.